Pembayaran Fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional untuk golongan B40 dan M40 melibatkan isi rumah dan individu bujang akan dilakukan bermula 4 Mei ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, 7.74 juta penerima telah menerima bayaran Fasa Pertama BPN berjumlah RM5.47 bilion.
“Dengan sukacitanya, saya ingin berkongsi bahawa pembayaran Fasa Ke-2 untuk kesemua penerima BPN golongan B40 dan M40, samada isi rumah atau individu bujang, akan dibuat mulai 4 Mei 2020.”
“Proses rayuan akan ditutup pada hari Khamis, 30 April ini. Pengumuman pembayaran pula akan dibuat pada minggu depan selepas proses semakan selesai,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, permohonan Geran Khas Prihatin untuk perniagaan mikro akan dibuka mulai 1 Mei 2020 dan proses permohonan akan diselaraskan serta diumumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam masa terdekat.
Selain itu, permohonan Program Subsidi Upah permohonan yang diluluskan telah meningkat daripada 159,000 majikan, melibatkan 1 juta pekerja kepada 195,000 majikan yang melibatkan 1.5 juta pekerja.
Mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS sehingga 26 April, sebanyak RM4.5 bilion telah diluluskan untuk 8,500 Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).