Sebelum ini kita dikejutkan dengan berita penularan virus misteri di China. Malah, ada yang beranggapan virus influenza yang mula merebak di Malaysia berkaitan dengan penyebaran wabak tersebut tetapi sebenarnya tidak berkait.
Untuk pengetahuan anda, virus misteri yang tular di China kini difahamkan telah merebak ke Jepun. Hal ini disahkan oleh Kementerian Kesihatan Jepun dimana seorang lelaki yang baru pulang dari Wuhan, China dijangkiti wabak pneumonia berpunca daripada virus tersebut.
Berikutan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran penularan virus coronavius yang boleh menyebabkan selsema sehingga kepada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Malah, virus itu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS). Anda dinasihatkan untuk tidak bersentuhan dengan binatang, berada di pasar dan berdekatan dengan produk haiwan jika ke Wuhan.
Kementerian Kesihatan Thailand juga mengambil langkah pencegahan dengan meningkatkan pemantauan terhadap pelancong yang tiba di lapangan terbang menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang mana dijangka lebih 800,000 pelancong China melawat negara itu. Hmm bagaimana pula dengan Malaysia? Bagaimana nak cegah penularan virus ini dari terus tersebar?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengumumkan bahawa virus baharu itu boleh merebak dan mengingatkan hospital seluruh dunia untuk berjaga-jaga.
Pastinya penularan virus ini cukup membimbangkan. Buat anda yang ingin ke sana, pastikan diri anda sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan.