Baru-baru tular satu kejadian yang memaparkan seorang wanita telah menerjah sebuah masjid kerana mendakwa imam dan bilal masjid mengacau ketenteraman kejiranan terdekat sambil mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap mereka yang diterjah.
Terbaharu, wanita yang dikenali sebagai Sofiah Abdul Majid, 65, dilaporkan telah diarah untuk menjalani ujian kesihatan mental selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Perlu Jalani Pemeriksaan Mental Di Hospital Bahagia
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi buat tertuduh di Mahkamah Majistret 3 pada Rabu semalam.
Menurut Nadratun, tertuduh didapati kurang stabil dan perlu menjalani pemeriksaan serta pemantauan di hospital bahagia selama sebulan.
“Berdasarkan pemerhatian, mahkamah mendapati OKT (orang kena tuduh) kurang stabil dan perlu menjalani pemantauan di hospital bahagia selama sebulan sebelum prosiding pendakwaan dimulakan. Tertuduh akan kembali ke mahkamah pada 19 April dengan laporan psikiatri,” katanya.
Enggan Menjawab Pertuduhan
Difahamkan arahan tersebut dibuat kerana ketika pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja tidak menjawab soalan sama ada dia faham kandungan pertuduhan atau tidak, sebaliknya dia mengatakan semua isi kandungan pertuduhan adalah tidak benar.
“Bagaimana saya nak mengaku betul? Semua itu salah. Itu adalah perkataan orang lain. Semua yang dibaca itu tipu. saya tidak setuju dengan penipuan.”
Tindak balas yang ditonjolkan oleh tertuduh telah membuatkan jurubahasa mahkamah dan polis terpaksa menahan tertuduh beberapa kali daripada membuat gangguan prosiding kerana Sofiah cuba bercakap selepas diarah untuk permerhatian psikiatri.
“Berdasarkan pemerhatian mahkamah, tertuduh kurang stabil dan perlu menjalani pemerhatian di hospital mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah. Tertuduh diminta datang semula ke mahkamah bersama keputusan tersebut pada 19 April 2024, pada pukul 9 pagi,” tambah Nadratun.
Terdahulu, media melaporkan sebuah kejadian di mana seorang wanita telah mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap imam dan bilal Masjid Jamek Ar-Rahman kira-kira jam 10 malam 12 Mac.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menghina bacaan imam dan bilal di masjid tersebut membaca al-Quran seperti anjing menyalak dan dirasuk hantu. Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh berdepan dengan penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kredit: Sinar Harian