fbpx

Pada dua hari yang lalu, pempengaruh dan juga penyanyi rap yang dikenali sebagai Caprice telah menaikkan isu berkenaan sebuah produk kurma yang dipercayai keluaran dari Israel, telah dijual di pasaran Malaysia.

Isu ini dibangkitkan susulan tularnya laporan daripada Berita Al-Hijrah yang memaklumkan terdapat produk kurma dari Israel dipaparkan tanpa selindung di dalam peti ais sebuah premis di Selangor.

Kastam Rampas 73 Pek Kurma Dipercayai Produk Israel

Susulan tularnya isu tersebut, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas sebanyak 73 pek buah kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai produk dari Israel.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad, beliau memaklumkan bahawa kurma seberat 14.6 kg yang bernilai RM678 itu telah dirampas di sebuah gudang sekitar Klang semalam.

Katanya, serbuan dibuat pada jam 11.30 pagi dan ia dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah II Selangor susulan video yang tular di media sosial berkaitan sebuah premis menjual buah kurma yang disyaki produk dari Israel.

“Hasil pemeriksaan ke atas gudang berkenaan menemui 73 pek buah kurma dilabelkan Organic Jumbo Medjool Dates yang disyaki produk dari Israel.

“Pada serbuan itu juga, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Produk Dibawa Masuk Dari Eropah

Jelas Sazali lagi, selain gudang itu, serbuan juga dibuat di sebuah pejabat yang terletak di Klang dan sebuah kedai yang menjual makanan organik di Petaling Jaya. Hasil semakan JKDM mendapati kurma tersebut dibawa masuk dari Eropah secara pukal bersama barangan makanan lain dari Eropah pada tahun 2022 dan diisytiharkan sebagai ‘food stuff’.

“Ia kemudian dibungkus semula untuk dijual di pasaran tempatan pada harga RM20 hingga RM30. Apa-apa produk dari Israel perlu mendapat permit khas daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti),” ujarnya.

Sementara itu, Caprice menerusi Instagram miliknya telah memuat naik satu video khas berkaitan serbuan yang dibuat dan meminta netizen untuk memberikan maklumat kepadanya sekiranya terdapat produk dari Israel yang dijual secara meluas di negara kita.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan mengikut Seksyen 135(1)(d).

Kredit: Harian Metro, IG capricedaddycap

[fbcomments]