fbpx

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) wajar diperluaskan segera jika masih ramai ingkar terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutama lokasi diisytiharkan Zon Merah.

Pakar Kriminologi dan Psikologi, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Mayda Dr Geshina Ayu Mat Saat, berkata langkah itu adalah jalan terbaik sebagai usaha drastik mengawal pemerebakan virus COVID-19.

Ramai yang masih ambil mudah

“Ramai yang masih ambil mudah perkara ini, seolah-olah mereka itu ‘kebal’ dan berfikiran yang mereka tidak akan dijangkiti wabak berkenaan atas pelbagai alasan.

“Mereka akan kata ‘saya bukan ahli tabligh’, ‘saya bukan kontak rapat dengan pesakit COVID-19’, jadi mana mungkin saya akan dijangkiti virus itu.

“Masih ramai yang berfikiran sedemikian ataupun ‘fallacy’ iaitu salah anggap sedangkan sesiapa sahaja boleh terdedah kepada virus ini.

“Kita belum pasti dengan cara apa lagi virus ini boleh merebak, apa yang kita tahu virus ini merebak melalui titisan cecair (droplet) seperti air liur dan peluh yang boleh bertahan antara lima hingga enam jam di atas pelbagai jenis permukaan. Apa yang kita bimbangkan ialah jika virus itu boleh merebak melalui udara atau airbone.”

Bekas KP yakin kerajaan akan laksanakan PKPD

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yakin kerajaan akan melaksanakan PKPD di kawasan lain yang diklasifikasikan sebagai zon merah, dalam masa terdekat.

Musa berkata, tindakan itu perlu berikutan hasil laporan PKP ketika ini, tidak mendapat 100 peratus kerjasama dan kepatuhan rakyat.

“Saya yakin PKPD ini akan diperluaskan ke kawasan zon merah lain, harapannya dalam masa terdekat. PKPD ini perlu apabila melihat PKP tidak berkesan secara menyeluruh.

15 zon merah

Terdapat 15 zon merah (bahaya) yang dicatatkan setakat ini. Zon merah tersebut ialah:

1. Petaling
2. Lembah Pantai
3. Hulu Langat
4. Seremban
5. Johor Bahru
6. Kluang
7. Kuching
8. Kota Bharu
9. Kepong
10. Kinta
11. Gombak
12. Klang
13. Titiwangsa
14. Tawau
15. Hilir Perak

Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan penduduk di kawasan zon merah supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan. Hanya ketua keluarga atau wakil boleh keluar untuk membeli barangan keperluan harian dan sentiasa meningkatkan kebersihan diri dan dalam rumah.

[fbcomments]