Lelaki yang menunjukkan isyarat lucah dan menendang seorang wanita yang juga pekerja penghantar makanan dalam kejadian di Bandar Puteri, Puchong itu akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata suspek akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan isyarat yang mengaibkan kehormatan.

“Kita terima dua laporan polis berhubung kejadian itu, semalam masing-masing daripada seorang wanita pekerja penghantar makanan Foodpanda berusia 26 tahun dan seorang lelaki berusia 61 tahun.

“Menerusi laporan polis dibuat wanita itu, kita jalankan siasatan dan kertas siasatan sudah dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya dan arahan telah dikeluarkan untuk menuduh lelaki itu.

“Bagaimanapun, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan ke atas laporan yang dibuat oleh lelaki berkenaan.”

Beliau turut menjelaskan berita yang mengatakan pihaknya tidak menjalankan siasatan itu adalah tidak benar.

[fbcomments]