fbpx

Maaf. Saya kurang arif dulu. Saya ambil selimut ini. Sekitar 2011 tak silap. Hari ini, saya pulangkan. Minta maaf dan minta halal selama saya guna ya. Apapun, ini selimut kegemaran saya. Minta maaf sekali lagi MAS.

Itu nota ditinggalkan penumpang di pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Nota di dalam bungkusan plastik berisi selimut itu ditemui kru pesawat yang kemudiannya menyerahkan kepada Ketua Pramugara, Kamarulzaman Abd Karim.

Kay berkata, nota berkenaan dipercayai ditinggalkan penumpang yang menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah.

Seperti biasa, kami akan melakukan pemeriksaan di dalam kabin selepas penumpang keluar bagi memastikan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang tertinggal barangan peribadi.

Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang kru menemui bungkusan barangan bersama sekeping nota di dalamnya di atas kerusi dan dia (kru) menyerahkannya kepada saya.

Rupanya, bungkusan itu berisi selimut yang pernah diambil penumpang berkenaan sembilan tahun lalu yang ingin dikembalikan semula.

Tapi penumpang berkenaan tidak menyatakan nama dan nombor telefon untuk dihubungi di dalam nota yang ditinggalkan.

Namun, Kay tetap terharu dengan kejujuran penumpang berkenaan yang sanggup memulangkan semula selepas sekian lama mengambilnya.

Selimut berkenaan memang disediakan untuk kegunaan penumpang di dalam kabin saja dan akan dicuci untuk digunakan semula dalam penerbangan lain.

Namun, segelintir penumpang mengambilnya mungkin kerana merasakan ia adalah cenderahati dan saya rasa ia berlaku di pesawat lain juga.

Cuma, tak sangka penumpang berkenaan memulangkannya semula dan tindakannya membuatkan saya terharu.

Semoga urusannya di Tanah Suci dipermudahkan Allah SWT dan mendapat umrah yang mabrur.

[fbcomments]