Seorang pelakon lelaki yang terkenal dengan fizikalnya yang sasa didakwa telah menyerang kekasihnya dalam satu kejadian di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu yang lalu.
Pelakon Ditahan Polis Sebab Belasah Kekasih
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya iaitu Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail menyatakan bahawa, laporan mengenai kejadian tersebut diterima oleh pihaknya sekitar jam 6 petang pada hari kejadian.
Menurut Shahrulnizam, insiden tersebut berlaku pada kira-kira jam 3 pagi ketika mangsa, seorang wanita berusia 25 tahun, keluar bersama kakaknya. Mangsa kemudian dihubungi oleh teman lelakinya yang memarahinya akibat perselisihan faham.
Lelaki berusia 37 tahun itu meminta mangsa untuk berjumpa dengannya dan mereka bertemu di Ara Damansara sekitar jam 4 pagi.
Setibanya di lokasi, mangsa memasuki kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu oleh suspek. Tanpa diduga, lelaki tersebut mula memarahi dan menumbuk mata kiri serta tubuh mangsa.
Akibat serangan tersebut, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Sea Park pada hari yang sama.
Kes ini kini sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sumber turut menyatakan bahawa pelakon yang terlibat, yang juga seorang duda, terkenal dalam filem aksi lasak dan pernah menyertai program realiti televisyen yang popular.
Dia juga tidak asing dengan kontroversi setelah beberapa kali terpalit dengan isu-isu sensasi sebelum ini.
Kredit: The Star