Seorang lelaki yang dipercayai terkorban dalam gempa bumi di Palu, Indonesia pada 2018 akhirnya kembali menemui keluarganya selepas lapan tahun terpisah.

Kepulangan Jumaidin, 26, ke Kampung Bongka Makmur, Kabupaten Tojo Una-Una, Sulawesi Tengah mengejutkan ahli keluarganya kerana lelaki itu sebelum ini telah dianggap meninggal dunia, malah sijil kematiannya sudah direkodkan dan keluarganya turut mengadakan tahlil selama 40 hari.

Disangka Maut Dalam Gempa Palu, Lelaki Muncul Semula Selepas 8 Tahun Hilang Ingatan

Menurut kakaknya, Mahania, 33, mereka pada awalnya sukar mempercayai lelaki yang muncul itu ialah adik mereka sendiri. Namun, selepas melihat wajah dan keadaan giginya, keluarga akhirnya yakin bahawa lelaki tersebut benar-benar Jumaidin.

Kehidupan Jumaidin berubah selepas gempa bumi kuat melanda Sulawesi Tengah pada 2018. Ketika itu, dia baru menamatkan persekolahan dan bekerja di sebuah syarikat percetakan bekas air minuman di Palu. Dia mengalami kecederaan parah di kepala selepas dihempap runtuhan bangunan. Seorang rakannya kemudian membawanya ke Morowali untuk mendapatkan rawatan, namun Jumaidin dilaporkan koma selama kira-kira sebulan. Selepas sedar, dia mengalami kehilangan ingatan yang teruk sehingga tidak dapat mengenali dirinya sendiri, keluarganya mahupun tempat asalnya.

Sepanjang tempoh tersebut, beberapa individu yang prihatin membantunya meneruskan kehidupan, termasuk menguruskan dokumen pengenalan diri supaya dia boleh bekerja. Jumaidin kemudian melakukan pelbagai pekerjaan di Morowali sebelum kembali ke Palu pada 2023 untuk bekerja di sebuah pusat mencuci kereta. Walaupun sudah bertahun-tahun berlalu, dia akhirnya mula mendapat petunjuk mengenai asal-usulnya selepas menonton video di TikTok yang memaparkan sebuah jambatan di Bongka. Pemandangan itu menimbulkan perasaan seolah-olah dia pernah berada di kawasan tersebut ketika kecil, sekali gus mendorongnya mencari maklumat lanjut di internet.

Daripada pencarian itu, ingatannya mula kembali sedikit demi sedikit, terutama berkaitan nama bapanya dan Kampung Bongka Makmur. Dengan bantuan seorang rakan sekerja di syarikat elektrik negara, Jumaidin berjaya menjejaki kampung halamannya sehingga tiba di rumah tempat dia membesar. Saat pertemuan semula itu menjadi lebih menyentuh hati apabila perkara pertama yang ditanyakannya ialah mengenai bapanya, yang rupa-rupanya telah meninggal dunia tiga tahun lalu. Mahania berkata, ingatan adiknya masih belum pulih sepenuhnya dan semakin banyak perkara mula diingatinya apabila dia dibawa bertemu abang, kakak serta saudara-mara lain.

Mahania turut mengakui keluarganya sebenarnya sukar menerima berita kematian Jumaidin dahulu kerana mereka tidak pernah melihat jasadnya. Selepas lapan tahun berlalu, kepulangannya membawa kegembiraan yang sukar digambarkan kepada seluruh keluarga. Walaupun mereka berharap Jumaidin kembali menetap di kampung halaman, lelaki itu memilih untuk meneruskan pekerjaannya di Palu. Bagaimanapun, dia berjanji akan pulang dengan lebih kerap ketika bercuti supaya dapat meluangkan masa bersama keluarga yang sekian lama terpisah.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]