Dua kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola kini telah selamat dikebumikan, menamatkan penantian penuh pilu keluarga serta orang ramai yang mengikuti perkembangan kes tersebut sejak Khamis lalu.

Misteri Kehilangan Dua Kanak-Kanak Terjawab, Kedua-Duanya Ditemui Meninggal Dunia

Mangsa pertama, Qayyum Shaqeel, 12, ditemukan pada malam hari kejadian, kira-kira dua kilometer dari lokasi mereka terjatuh, di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan. Sementara itu, kehilangan abangnya, Khalish Shahdan, 14, hanya terjawab selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayatnya petang Sabtu dalam takungan air berhampiran sebuah pasar raya di Prima Saujana, selepas mengesan bau mencurigakan di kawasan tersebut.

Penemuan mayat Khalish membawa kesedihan mendalam kepada ahli keluarga yang berkumpul sejak petang untuk menunggu perkembangan SAR. Remaja itu dikeluarkan pada 8.45 malam sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.

Suaasana sayu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan apabila kira-kira 300 ahli keluarga, rakan serta penduduk hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Khalish pada Ahad semalam. Jenazahnya tiba di Masjid Jamek Kajang sekitar 12.15 tengah hari sebelum dikebumikan.

Allahyarham Khalish dan Qayyum merupakan dua daripada enam beradik. Kejadian malang itu berlaku apabila kedua-duanya terjatuh ke dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana sebelum dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola.

Rakan baik Khalish, Muhammad Akil Danish Khairil Nizam, 15, menyifatkan arwah sebagai seorang yang periang, mudah membantu rakan serta sangat aktif dalam sukan, terutama bola sepak yang diminatinya sejak kecil. Katanya, pasukan bola sepak Sekolah Menengah Saujana Impian pasti merindui kelibat sahabat mereka itu.

Kredit: Berita Harian

 

 

[fbcomments]