Pemandu Ferrari yang terlibat dalam video pergaduhan dengan pemandu Perodua Aruz di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) baru-baru ini tampil menjelaskan perkara yang berlaku sebelum insiden tersebut.

Ahli perniagaan, Tiang How Soon, 40, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Melaka bersama isteri dan anaknya yang berusia empat tahun.

Pemandu Ferrari Jelaskan Insiden Pergaduhan Di PLUS, Dakwa Terpaksa Elak Kereta Berhenti Mengejut

Menurutnya, dia terpaksa menukar lorong selepas sebuah kenderaan di hadapannya berhenti secara mengejut kerana bimbang tidak sempat memberhentikan kenderaan.

“Saya cuba brek tetapi risau tidak sempat berhenti dan melanggar kereta depan. Jadi untuk elak kemalangan lebih besar, saya tukar lorong. Saya tengok cermin sisi dan nampak Aruz itu ada jarak lebih kurang dua ke tiga kereta lagi. Saya kemudian berhenti di lorong tengah dan kereta dia sampai, tetapi tidak berlaku kemalangan,” katanya ketika sidang media di Biro Aduan Awam DAPSY Selangor pada Ahad.

Bagaimanapun, How Soon berkata pemandu Aruz terbabit mula memarahinya dan menjerit ke arah bahagian penumpang kenderaannya.

Menurutnya, lelaki tersebut turut mencarut sebelum dia meminta supaya berhenti berbuat demikian kerana anaknya berada di dalam kenderaan dan sudah ketakutan.

“Saya turun dari kereta dan ketika itu ada beberapa orang lain yang cuba bantu tetapi tiba-tiba dia pukul saya, dia sepak dan tumbuk muka saya,” katanya.

How Soon menegaskan kejadian tersebut bukan berpunca daripada sebarang pelanggaran antara kedua-dua kenderaan dan dia tidak berniat untuk mencetuskan kekecohan.

Katanya, ketika itu dia bersama keluarganya menyertai konvoi kereta ke Melaka tetapi ketinggalan selepas keluar dari sebuah stesen minyak.

“Saya bukan berlumba atau memandu secara melulu. Saya cuma cuba mengelak daripada berlaku kemalangan lebih besar. Kalau berlaku kemalangan, bukan sahaja saya dan keluarga saya yang terlibat, tetapi pengguna jalan raya lain juga boleh terjejas,” katanya.

Sebelum ini, polis dilaporkan sedang mengesan pemandu Perodua Aruz yang disyaki memukul pemandu Ferrari dalam kejadian pergaduhan di tengah Lebuhraya PLUS yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.40 petang daripada salah seorang pemandu yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Dalam pada itu, How Soon berkata kejadian tersebut turut memberi kesan kepada anaknya yang berusia empat tahun selain menimbulkan pelbagai persepsi terhadap dirinya selepas video pergaduhan itu tular di media sosial.

Beliau berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mudah bertindak mengikut emosi ketika berada di jalan raya.

“Saya tengok dalam kereta dia pun ada keluarga, dia pun ada bawa anak kecil. Jadi sepatutnya dia boleh berbincang dengan saya.

“Kalau kes kecil macam ini dia pukul orang sampai mahu masuk penjara, berbaloi kah? Kasihan pada keluarga dia nanti.

“Saya pun tidak mahu komen banyak sebab polis sedang jalankan siasatan. Sebagai seorang bapa dan orang yang ada keluarga, saya tidak mahu keluarga dia bermasalah nanti,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]