Malaysia Aviation Group (MAG) akan melaksanakan saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang Malaysia Airlines sebagai langkah memperkukuh tahap keselamatan operasi penerbangan susulan penahanan seorang juruterbang warga Malaysia di Indonesia baru-baru ini.

Saringan tersebut melibatkan kira-kira 1,260 juruterbang di bawah kumpulan penerbangan Malaysia Airlines dan proses berkenaan dijangka selesai pada 15 Ogos 2026.

MAG Perketat Kawalan Keselamatan, Semua Juruterbang Malaysia Airlines Jalani Saringan Dadah

Menurut MAG, juruterbang yang gagal menjalani pemeriksaan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga pengesahan dibuat bahawa mereka bebas daripada sebarang isu berkaitan, selaras dengan prosedur dalaman syarikat serta keperluan pihak berkuasa penerbangan.

Selain pelaksanaan ujian mandatori berkenaan, MAG turut memaklumkan pemeriksaan lebih ketat akan dikenakan terhadap semua juruterbang aktif sebagai tambahan kepada program saringan rawak yang telah dilaksanakan sebelum ini. Langkah sama kemudiannya akan diperluaskan kepada kru kabin aktif bagi memastikan semua warga kerja yang terlibat dalam operasi penerbangan memenuhi piawaian keselamatan dan profesionalisme yang ditetapkan.

Tindakan itu dibuat selepas seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan di Indonesia pada 29 Julai lalu kerana dipercayai terlibat dalam cubaan membawa masuk dadah dalam jumlah besar termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram. Individu terbabit dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Bagaimanapun, MAG menjelaskan lelaki tersebut bukan juruterbang yang mengendalikan penerbangan berkenaan, sebaliknya merupakan pegawai kedua yang berada di tempat duduk pemerhati kokpit (cockpit jump seat).

Menurut MAG, individu berkenaan juga tidak bertugas selama dua hari sebelum kejadian itu berlaku, manakala penerbangan MH727 dikendalikan dengan selamat sepanjang perjalanan oleh dua juruterbang operasi yang bertauliah. MAG menyifatkan tindakan tersebut sebagai perkara yang tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan nilai profesional serta piawaian keselamatan yang ditetapkan terhadap semua kakitangannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, aspek keselamatan operasi dan tahap kesiapsiagaan kru sebelum menjalankan tugas merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi. Beliau berkata, walaupun insiden berkenaan dianggap sebagai kes terpencil dan tidak menggambarkan tahap profesionalisme majoriti warga kerja MAG, pihaknya tetap mengambil tindakan segera bagi memperkukuh langkah pencegahan.

Dalam pada itu, MAG memaklumkan juruterbang operasi turut diwajibkan melengkapkan penilaian IMSAFER sebelum setiap penerbangan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan fizikal dan mental yang sesuai untuk bertugas. Penilaian IMSAFER merangkumi tujuh aspek utama iaitu penyakit (illness), pengambilan ubat-ubatan (medication), tekanan (stress), alkohol (alcohol), keletihan (fatigue), emosi (emotion) dan pengalaman penerbangan terkini (recency).

Selain itu, juruterbang turut disokong melalui sistem Pengurusan Ancaman dan Ralat atau Threat and Error Management (TEM) bagi membantu mengenal pasti serta mengurus sebarang risiko yang boleh menjejaskan operasi penerbangan.

MAG berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguatkuasaan dan badan kawal selia bagi melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan serta memastikan semua operasi mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Kredit: Astro Awani

[fbcomments]