Baru-baru ini, Johor Bahru dikejutkan dengan laporan mengenai kes penculikan yang kononnya melibatkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun. Menurut dakwaan awal, remaja tersebut mendakwa dia hampir diculik oleh seorang lelaki yang memandu van putih dan lokasi kejadian dikatakan berlaku berhampiran sekolah di Taman Ulu Tiram.
Reka Cerita Diri Diculik, Padahal Takut Dimarahi Ibu Kerana Pulang Sekolah Lewat
Dalam laporan tersebut, remaja itu mengaku dihampiri oleh seorang lelaki berpakaian lengkap dengan topeng muka, cermin mata hitam, dan membawa pisau. Dia turut mendakwa sempat melarikan diri sebelum diculik. Namun, Ketua Polis Daerah Seri Alam iaitu Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan bahawa siasatan mendapati cerita tersebut adalah tidak benar.
Siasatan lanjut menunjukkan bahawa remaja tersebut mereka cerita untuk mengelakkan kemarahan ibunya kerana pulang lewat dari sekolah. Kejadian yang dilaporkan berlaku pada 6.45 petang, 3 Jun lalu, sebenarnya tidak melibatkan sebarang ancaman penculikan.
Sementara itu, laporan tentang ancaman penculikan ini telah dikemukakan oleh seorang wanita berusia 49 tahun yang mengadu mengenai keselamatan anaknya. Pihak polis mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka, baik ketika berada di rumah mahupun di luar.
Kejadian ini juga tular di media sosial melalui sebuah hantaran dengan tajuk ‘Kes Culik Budak Bukit Tiram’, tetapi hantaran tersebut telah dipadamkan. Pihak polis menggesa masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan.
Kredit: Kosmo!