Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggang mangsa terlanggar tayar gantian treler yang terjatuh di kilometer 261.7 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing menghala ke Kuantan pada Sabtu malam.

Maut Ketika Dalam Perjalanan Untuk Menghadiri Kuliah Ustaz Azhar Idrus

Memetik laporan Kosmo! Online, difahamkan kemalangan berlaku kira-kira jam 9 malam dan mangsa iaitu , Mohd Rasis Ismail, 42, dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu bersama lima motosikal yang lain untuk menghadiri kuliah agama oleh penceramah dan pendakwah terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus di Jalan Penor, Kuantan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman iaitu Superintenden Hanyan Ramlan, beliau memaklumkan bahawa situasi yang gelap telah menyebabkan mangsa tidak sempat untuk mengelak dan terlanggaar tayar treler terbabit sebelum mangsa tercampak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian. Katanya, pemandu treler muatan kenderaan berusia 44 tahun itu telah berhenti di tepi jalan setelah menyedari tayar gantian kenderaannya telah terjatuh.

“Tidak lama selepas pemandu itu berhenti di lorong kiri jalan untuk turun alihkan tayar tersebut, motosikal ini datang dan salah sebuah daripadanya telah terlanggar tayar itu. Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelas Hanyan.

Allahyarham Seorang Yang Aktif Mengikuti Ceramah UAI

Sementara itu, kejadian malang yang menimpa Allahyarham Mohd Rasis ini telah tular di media sosial sejak Sabtu lalu selepas berita mengenainya dikongsikan di akaun media sosial rasmi RXZ Members-Official.

Difahamkan, mangsa yang beralamat di Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang di Kuala Terengganu merupakan seorang peniaga kedai makan dan sentiasa aktif mengikuti ceramah Ustaz Azhar.

Kredit: Kosmo! Online

[fbcomments]