Hospital Jerantut menganjurkan majlis akad nikah buat sepasang pesakit yang sedang menerima rawatan di fasiliti berkenaan, sekali gus membolehkan mereka melangsungkan perkahwinan tanpa perlu meninggalkan hospital. Majlis yang berlangsung di Dewan Baiduri itu merupakan penganjuran pertama seumpamanya di hospital berkenaan.

Pertama Kali Di Hospital Jerantut, Pasangan Pesakit Selamat Diijabkabulkan

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi hospital pada 23 November 2026, majlis ijab dan kabul tersebut dilaksanakan melalui inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI). Program berkenaan bukan sahaja memberi perhatian terhadap rawatan fizikal, malah turut membantu memenuhi keperluan kerohanian, kebajikan dan tuntutan syariah pesakit.

Pihak hospital memaklumkan bahawa keadaan kesihatan pasangan tersebut tidak menghalang mereka daripada menyempurnakan ikatan perkahwinan.

“Walaupun diuji dengan keadaan kesihatan, ikatan suci ini tetap berjaya disatukan dalam suasana yang penuh syahdu dan bermakna,” menurut kenyataan itu.

Penganjuran majlis berkenaan turut mendapat kerjasama beberapa agensi dan unit hospital bagi menguruskan keperluan pernikahan, termasuk urusan akad nikah, wali dan saksi.

Antara pihak yang terlibat ialah Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah (HMI) Hospital Jerantut selaku peneraju utama, Wad Melor 1 (O&G), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Pejabat Kadi Daerah Jerantut.

Kerjasama itu turut melibatkan Unit Kejururawatan, Unit Penyeliaan, Unit Kerja Sosial Perubatan dan warga kerja Hospital Jerantut yang membantu memastikan majlis berjalan lancar.

Perkongsian tersebut menerima maklum balas positif daripada orang ramai yang menghargai usaha pihak hospital membantu pasangan berkenaan melangsungkan pernikahan ketika masih menjalani rawatan.

Pihak Hospital Jerantut turut mendoakan agar kedua-dua pengantin segera diberikan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga.

Kredit: Facebook Hospital Jerantut

 

[fbcomments]