Sebuah syarikat pembekal dan penyembelihan ayam bersama empat individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didakwa mengelirukan pengguna berhubung status halal bekalan ayam seberat 6,555 kilogram di Puchong.

Bekal Ribuan Kilogram Ayam Didakwa Tidak Halal, Syarikat Berdepan Denda Sehingga RM5 Juta

Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd bersama dua pengarahnya, Zafirah Karim dan Tanjena Akter Mollah serta pengurusnya, Hosain Saddam didakwa membekalkan ayam yang dipercayai tidak disembelih mengikut hukum syarak, namun membuat gambaran seolah-olah produk berkenaan memenuhi syarat makanan halal untuk umat Islam.

Seorang pekerja syarikat itu, Abdul Rahim Ariff Ali pula berdepan pertuduhan bersubahat dalam perbuatan tersebut.

Kesemua lima tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, kira-kira jam 12.45 tengah malam pada 30 Oktober lalu. Antara kaedah penyembelihan yang dikaitkan dengan kes berkenaan ialah water bath stunning, iaitu penggunaan kejutan elektrik melalui rendaman air sebelum proses penyembelihan.

Sebelum ini, serbuan menerusi Op Taring Chiller di sebuah gudang pemprosesan dan penyembelihan ayam di Puchong membawa kepada penahanan 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan.

Dalam operasi sama, sebanyak 468 bungkusan ayam mentah dengan berat keseluruhan 6,555 kilogram turut dirampas. Keseluruhan bekalan itu dianggarkan bernilai RM85,400.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Jika sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, jumlah denda boleh meningkat sehingga RM10 juta.

Bagi individu yang terlibat, hukuman yang diperuntukkan ialah denda maksimum RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Jika melakukan kesalahan berulang, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang merupakan warganegara diikat jamin sebanyak RM35,000 dengan dua orang penjamin. Mereka turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, dua tertuduh warga Bangladesh tidak dibenarkan diikat jamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Januari 2027.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]