Pemergian seorang penuntut cemerlang dalam bidang perakaunan iaitu Aysar Zahran Saiful Alimin, meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan, serta tenaga pengajarnya.
Arwah bukan sahaja dikenali sebagai seorang pelajar yang pintar, tetapi juga seorang yang bercita-cita tinggi dalam mencapai impian untuk bekerja di salah satu firma audit terbesar dunia.
Impian Besar Seorang Pelajar Cemerlang Terhenti di Pertengahan Jalan, Bapa Reda Dengan Pemergian Anak
Bapanya, Saiful Alimin Mohd Mokhtar, 58, mendedahkan bahawa anaknya pernah menyatakan hasrat besar itu berkali-kali sebelum ini.
“Sejak awal lagi, dia memang berazam mahu menyertai ‘The Big Four’ dan sering berkongsi impian itu dengan saya. Saya sentiasa memberikan galakan kerana saya tahu ia adalah kerjaya yang baik dan mempunyai masa depan yang cerah,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada laporan Bernama.
Aysar Zahran, yang sebelum ini mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan Program Asas Perakaunan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA-FIA) pada tahun 2023, sememangnya dikenali sebagai seorang pelajar yang gigih dan berdedikasi dalam akademiknya.
Pensyarahnya, Gary Danny, 29, turut mengesahkan bahawa arwah pernah menyuarakan impian untuk menempatkan diri dalam firma audit terkemuka demi meningkatkan taraf hidup keluarganya.
“Setahu saya Aysar Zahran bukan datang daripada keluarga senang dan dia turut menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Saya mengenalinya sebagai seorang yang peramah dan mudah tersenyum serta mempunyai usaha tinggi untuk berjaya, dalam kelas dia memang suka duduk di barisan paling hadapan,” ujarnya.
Gary turut berkongsi satu kenangan manis bersama arwah, iaitu saat beliau sendiri menghubungi Aysar untuk menyampaikan berita kejayaannya dalam peperiksaan ACCA-FIA.
“Kenangan paling manis dikongsi bersama Aysar Zahran ialah apabila saya menghubunginya menerusi telefon untuk memberitahu keputusan peperiksaan tersebut dan kami sama-sama menjerit gembira di telefon,” tambahnya.
Tragedi yang meragut nyawa pelajar semester dua di TYMBA Education Group itu berlaku ketika arwah dalam perjalanan pulang ke penginapan kolejnya di Gombak. Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang, motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kereta Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan, menyebabkan kemalangan melibatkan enam kenderaan.
Kehilangan Aysar Zahran memberi tamparan hebat kepada keluarga, namun bapanya menerima takdir ini dengan hati yang reda.
“Walaupun sangat sedih kehilangannya, saya reda dengan kejadian ini. Saya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kejadian ini kepada pihak berkuasa dan berharap anak saya akan mendapat keadilan sewajarnya. Saya juga berterima kasih kerana banyak pihak sudi menjadi saksi,” katanya.
Kredit: BERNAMA