Tidak dinafikan lagu Romancinta merupakan lagu yang pernah menaikkan nama Aweera ketika bersama kumpulan Mojo beberapa tahun lalu.
Namun, baru-baru ini penyanyi tersebut telah meluahkan rasa tidak puas hati apabila terdapat stesen televisyen memanggil penyanyi lain untuk membuat persembahan lagu nyanyian asalnya itu.
Aweera telah menulis kekesalan tersebut di Instagram miliknya untuk tatapan umum.
Tambahnya lagi, luahan itu bukan bertujuan untuk meraih perhatian dan publisiti murahan tetapi hanyalah sekadar dia mengutarakan pendapat.
Saya tak marah pun, cuma agak terkilan la sikit. Saya masih ada untuk peminat-peminat yang sentiasa menyokong dari awal hingga sekarang.
Tapi kalau bila dah mati baru nak kenangkan, untuk apa kan?
Aweera turut meluahkan rasa terkilan kerana dipinggirkan sebagai penyanyi asal. Ujarnya lagi, pihak stesen televisyen perlu menghargainya sebagai penyanyi asal. Ini kerana, dia masih aktif dan berada di dalam industri seni.
Dalam entri tersebut, nampaknya seorang senior dalam industri hiburan, Saiful Apek ada memberikan kata-kata semangat kepadanya mengenai isu berkenaan.
