Petarung muda negara, Muhammad Johan Ghazali Zulkifli atau Jojo, memilih untuk meneruskan kerjasama bersama jenama penjagaan diri dari Indonesia, Kahf, walaupun syarikat berkenaan sebelum ini mencetuskan kontroversi susulan hantaran berunsur perbandingan antara Indonesia dan beberapa negara Asia Tenggara.
![]()
Kontroversi ‘Beda Level’, Jojo Pilih Kekal Bersama Kahf
Jojo mengakui Kahf sememangnya melakukan kesilapan menerusi hantaran tersebut, namun baginya kesilapan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Beliau tidak melihat perkara itu sebagai alasan untuk memutuskan sokongan terhadap jenama berkenaan, lebih-lebih lagi selepas Kahf tampil mengakui kesalahan dan memohon maaf.
Menurut Jojo, sepanjang tempoh bekerjasama dengan Kahf, beliau sendiri tidak pernah berdepan sebarang masalah dengan jenama itu. Atas pengalaman tersebut, beliau masih menganggap Kahf sebagai jenama yang boleh disokong, namun menyerahkan keputusan berhubung perkara itu kepada orang ramai.
![]()
Jojo turut berseloroh bahawa dirinya pernah mengeluarkan kenyataan atau melakukan perkara yang jauh lebih luar biasa sebelum ini, tetapi Kahf tidak pernah memulaukannya. Justeru, beliau menegaskan pendiriannya untuk kekal bersama Kahf dan berharap kontroversi berkenaan tidak dipanjangkan selepas permohonan maaf dibuat.
“Saya tetap setia bersama Kahf. Kita semua melakukan kesilapan. Selagi kita memohon maaf, kita boleh terus melangkah ke hadapan. Perkara ini sebenarnya bukanlah isu yang terlalu besar. Bertenanglah semua,” katanya.
![]()
Kontroversi itu tercetus selepas Kahf memuat naik hantaran menggunakan frasa “beda level” yang membandingkan Indonesia dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Hantaran berkenaan dipercayai dimuat naik susulan kejayaan Indonesia menjuarai Piala FIFA ASEAN Cup 2026.
Susulan menerima reaksi kurang senang, Kahf memadamkan hantaran tersebut dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia, selain mengakui kandungan itu tidak sepatutnya diterbitkan serta tidak mencerminkan nilai dan prinsip hormat yang dibawa jenama berkenaan. Kahf turut memberi jaminan akan lebih berhati-hati dalam pengurusan media sosial bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Kredit: Thread johanghazali_