Tiga anggota polis yang bertugas di Balai Polis Weston maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa menggunakan galah besi dalam kejadian di luar balai polis berkenaan, berhampiran sebuah sekolah di Kampung Weston, Beaufort pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa dikenali sebagai Chiu Teck Siong, 40, Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat renjatan elektrik.

Galah Besi Terkena Kabel Elektrik, Tiga Anggota Polis Terkorban Di Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, ketika kejadian ketiga-tiga anggota terbabit sedang mengait buah kelapa menggunakan galah besi sepanjang kira-kira lapan meter.

Beliau berkata, selepas selesai mengait buah kelapa, mereka dipercayai cuba mengalihkan dan menurunkan galah tersebut sebelum salah seorang daripada mangsa hilang keseimbangan.

“Keadaan itu menyebabkan galah besi berkenaan terjatuh ke arah bertentangan pokok kelapa lalu terkena kabel elektrik utama. Arus elektrik kemudian mengalir melalui galah besi tersebut dan menyebabkan ketiga-tiga mangsa terkena renjatan,” katanya.

Menurut beliau, kawasan kejadian merupakan tanah gambut dan mempunyai air bertakung, sekali gus dipercayai meningkatkan risiko renjatan elektrik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada jam 5.56 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.

Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diterima, tiga anggota polis dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penjolok besi untuk mengait buah kelapa.

“Sebelum ketibaan pasukan bomba, orang awam yang berada di lokasi telah bertindak melakukan pemadaman menggunakan dua unit alat pemadam api jenis serbuk,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba memasang sawar keselamatan bagi mengawal kawasan kejadian sebelum menjalankan penilaian risiko. Menurutnya, bekalan elektrik di lokasi kemudiannya berjaya diputuskan oleh pasukan Sabah Electricity sebelum anggota bomba bersama polis mengangkat ketiga-tiga mangsa.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan selepas pasukan memastikan tiada lagi sebarang bahaya di kawasan kejadian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Champin berkata, jenazah ketiga-tiga anggota polis berkenaan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menjalani proses bedah siasat.

Beliau berkata, selepas semua urusan dokumentasi selesai, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan dengan diiringi pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort. Menurutnya, mangsa berusia 40 tahun berasal dari Sarawak, mangsa berusia 29 tahun berasal dari Kelantan manakala anggota termuda berusia 26 tahun berasal dari Terengganu.

Setakat ini, lokasi pengebumian masih belum dimuktamadkan, namun ketiga-tiga jenazah akan dikebumikan di negeri asal masing-masing selepas semua urusan selesai.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]