Selepas lebih seminggu berada dalam keadaan koma akibat kemalangan dipercayai berpunca daripada kejadian dikejar sekumpulan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang, seorang mekanik kini berdepan kemungkinan mengalami kecederaan otak kekal.
![]()
Mangsa Kemalangan Dikejar Anjing Liar Mungkin Alami Kecederaan Otak Kekal
Muhammad Shahrul Yuzzi Che Ahmad, 27, telah dibenarkan pulang selepas menjalani pembedahan, namun masih memerlukan pemantauan rapi daripada keluarga susulan masalah gangguan ingatan yang dialaminya.
Menurut kakaknya, Rozaini Che Ahmad, 43, doktor memaklumkan kecederaan yang dialami adiknya berkemungkinan memberi kesan jangka panjang terhadap fungsi otak dan peluang untuk kembali pulih sepenuhnya masih tidak dapat dipastikan.
Walaupun keadaan Muhammad Shahrul semakin baik apabila sudah mampu berjalan, bercakap serta makan sendiri, masalah ingatan masih berlaku apabila dia kadangkala mengingati sesuatu, namun boleh terlupa semula atau bercakap perkara yang tidak jelas.
Mengimbas kejadian pada awal pagi 13 Julai lalu, Rozaini berkata adiknya ketika itu dalam perjalanan pulang selepas keluar dari kedai sebelum dipercayai dikejar sekumpulan anjing liar. Akibat kejadian tersebut, Muhammad Shahrul dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan mengalami pendarahan serius di bahagian kepala sehingga memerlukan pembedahan kecemasan.
![]()
Katanya, doktor ketika itu memaklumkan keadaan adiknya kritikal kerana mengalami pendarahan yang banyak di kepala dengan peluang keselamatan hanya sekitar 50 peratus. Keluarga kemudian diminta membuat keputusan segera bagi membolehkan pembedahan dilakukan, sebelum Muhammad Shahrul ditidurkan dan hanya sedar kira-kira seminggu selepas prosedur berkenaan.
Rozaini turut berkongsi, sepanjang tempoh rawatan, ibu mereka tidak mampu menahan kesedihan melihat keadaan anak bongsunya yang terlantar. Insiden itu juga memberi kesan besar kepada keluarga dari segi emosi, kesihatan serta kewangan.
Dalam pada itu, Rozaini berharap pihak berkuasa mengambil tindakan lebih serius terhadap isu lambakan anjing liar di kawasan perumahan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Menurutnya, dia sendiri pernah berdepan situasi dikejar empat ekor anjing ketika menunggang motosikal bersama anak kecil dan seorang lagi kanak-kanak berusia lima tahun.
Tambahnya, beberapa penduduk di kawasan berkenaan turut pernah mengalami pengalaman sama. Bagaimanapun, keluarga kini memilih untuk reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana Muhammad Shahrul masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan serta menunjukkan perkembangan positif selepas kejadian tersebut.
Kredit: Sinar Harian