Hari ini negara kita mendapat perkhabaran sedih, pemergian Datuk Ismail Kamus, Pendakwah dan pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia.
Pemergian di hari Jumaat, mengimbau kembali kehilangan dua orang lagi permata ummah iaitu, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Almarhum Dato Dr Haron Din.
Pemergian tiga tokoh agama pada hari Jumaat
Sayu hati ini mengenangkan pemergian tiga orang tokoh agama, yang selama ini telah menyampaikan ilmu bermanfaat, buat sekalian ummah.
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, meninggal dunia pada malam Jumaat, bertarikh 12 Februari 2015, di usia 84 tahun, akibat menderita kanser prostat.
Almarhum Datuk Dr Haron Din meninggal di usia 76 tahun, pada hari Jumaat, 16 September 2016, di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat (AS), ketika masih menjalani rawatan jantung.
Kini Jumaat, 8 Mei 2020, giliran Datuk Ismail Kamus,72 tahun pula dijemput Ilahi, akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.
Dibebaskan dari azab kubur
Ramai yang mendakwa siapa yang mati/meninggal pada malam atau hari Jumaat, dia akan terlepas dari seksa kubur. Ini adalah kenyataan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara tersebut:
“Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur”. [Musnad Ahmad, no. Hadith 6359]
Hukum hadith ini dihukum hasan dengan kesemua jalurnya (sanad) oleh al-Albani di dalam karyanya Ahkam al-Jana’iz. Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan sanad pada hadith ini dhaif (lemah) dan syawahid yang ada untuk menyokong hadith ini adalah tidak boleh dan sesuai untuk dijadikan syawahid. Selain itu, beliau mengatakan bahawa al-Albani telah tersalah di dalam menghukum terhadap hadith ini kerana mengikut al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi. [Lihat: Musnad Ahmad, 11:150]
Menurut kenyataan portal tersebut, tiada hadith yang sahih dalam menceritakan akan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat . Sebaliknya mereka lebih menyatakan:
“Barangsiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan bahawa orang tersebut memperoleh husnul khatimah (pengakhiran yang baik). ” – Dipetik dari Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Sebaik-baik hari
Hari Jumaat adalah sebaik-baik hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam AS. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan daripadanya (Syurga) dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1411]
Selain itu juga, hari Jumaat mempunyai satu masa yang istimewa di mana pada waktu tersebut Allah SWT akan memakbul dan memustajabkan doa hambanya yang berdoa kepada-Nya.
“Pada hari Jumaat itu ada satu masa (waktu), tidaklah seorang hamba yang muslim itu menunaikan solat lalu dia berdoa memohon sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang dimohonkan itu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 883]