Tiada tarikh ditetapkan bagi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya.
“Saya kata peralihan lepas APEC (Asia-Pacific Economic Cooperation). Tidak masa (ditetapkan)…tidak ada tarikh… tiada apa-apa. Terpulang kepada saya tentukan masa. Keputusan kepada saya, bila akan letak jawatan.” – Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ditanya sama ada mesyuarat itu juga bersetuju supaya Anwar menjadi perdana menteri kelapan, Dr Mahathir berkata: “Perkara itu tidak timbul. Jawatan itu terserah kepada saya untuk membuat keputusan selepas APEC.”
Anwar yang duduk sebelah Dr Mahathir semasa sidang media itu berkata: “Saya sendiri cadang supaya Tun Dr Mahathir diberikan ruang mentadbir dan kemudian bila (masa peralihan kuasa)… dia tetapkan masa yang sesuai, itu barulah (berlaku), dan sementara itu saya kenalah sabar,”
“Pendirian kita jelas, tidak ada keraguan, komitmen kita untuk memastikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dapat menjalankan tugas dengan dokongan yang penuh. Ini tidak dipersoal,” kata Anwar.
Dr Mahathir berkata perkara paling penting yang diputuskan dan dipersetujui secara bersama di dalam mesyuarat ini adalah tarikh peralihan kuasa yang akan ditentukannya sendiri.
“Diserah kepada saya. Apa saya kata mereka akan turuti. Terpulang kepada saya. Itu kepercayaan yang diberikan oleh parti (PH) kepada saya. Alhamdulillah,” katanya.