Kementerian Sumber Manusia semalam telah mengeluarkan garis panduan buat majikan dalam mengendalikan isu berkaitan penyakit berjangkit termasuk wabak koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Garis panduan itu dikeluarkan susulan kebimbangan dan persoalan serius yang diutarakan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia terhadap pekerjaan yang berkaitan dengan jangkitan koronavirus. 

Garis panduan itu menyenaraikan lima tindakan yang boleh diambil oleh majikan dalam menangani situasi tersebut.

Perbelanjaan pemeriksaan ditanggung majikan

Majikan disaran mengarahkan pekerja untuk menjalankan pemeriksaan segera, dengan perbelanjaan ditanggung oleh majikan dan pemeriksaan dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar atau pegawai perubatan yang ditetapkan mengikut Seksyen 60F Akta Pekerjaan 1955.

Memberi cuti sakit berbayar

Untuk memberi cuti sakit berbayar atau kelayakan hospital semasa tempoh kuarantin kepada pekerja yang dikenakan perintah kuarantin oleh pengamal perubatan berdaftar, tidak kira sama ada pekerja dikuarantin di rumah atau di hospital.

Memberi imbuhan tambahan

Majikan digalakkan untuk memberikan imbuhan tambahan kepada pekerja jika perintah kuarantin melebihi cuti sakit atau kemasukan ke hospital dan memberikan gaji penuh kepada pekerja yang mendapat perintah kuarantin daripada pengamal perubatan berdaftar dari negara-negara dengan kes-kes 2019-nCoV kerana kewajipan rasmi atau arahan daripada majikan.

Tidak boleh halang pekerja datang bekerja jika tiada perintah kuarantin

Tidak boleh halang pekerja datang bekerja jika tiada perintah kuarantin daripada pengamal perubatan berdaftar.

Tidak boleh guna cuti tahunan atau cuti tanpa gaji

Majikan tidak boleh mengarahkan pekerja, dengan apa cara sekalipun, untuk menggunakan kelayakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji semasa tempoh kuarantin.

[fbcomments]