Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak perempuan yang dihantar dalam keadaan sihat kepada pengasuh tiba-tiba meninggal dunia. Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah taska di Bukit Jalil.

Bayi berusia lima bulan itu disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta selepas dikatakan tidak sedarkan diri ketika berada di taska.

Ibu kesal tidak dilaporkan lebih awal

Menurut laporan Harian Metro, bayi perempuan itu dikatakan tidak sedarkan diri sebelum disahkan menggal dunia dan ibu bapanya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh klinik swasta pada jam 4.45 petang.

Saya yang baru tiba di rumah, cemas selepas mendapat perkhabaran itu sebelum bergegas ke klinik berkenaan untuk melihat keadaan Aamina. Tidak lama selepas itu, baru pemilik taska menghubungi dan memaklumkan Aamina sudah tiada. Saya terus menghubungi suami memaklumkan kejadian.

Ibu kepada Tengku Aamina Tengku Mohd Ikhwan kesal pihak taska tidak memaklumkan perkara itu lebih awal kepada mereka.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebelum dikebumikan di Tanah Perkubran Islam Presint 20, Putrajaya.

Siasatan lanjut dijalankan

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurut ibu mangsa, dia menghantar anak keduanya itu ke taska dalam keadaan sihat pada jam 6.45 pagi. Pada jam 4.45 petang dia dimaklumkan oleh kakitangan klinik swasta untuk datang segera bagi melihat keadaan anaknya.

Setakat ini polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

Pengasuh sepatutnya memantau…

Berdasarkan maklumat dari pemilik taska, mangsa sebelum itu tidur pada jam 2.30 petang dan ditemui dalam keadaan terlangkup dan tidak sedarkan diri.

Saya terkilan kejadian ini berlaku kerana pengasuh sepatutnya perlu memantau bayi di bawah jagaan mereka kerana Aamina sudah pandai meniarap.

Saya dan suami reda dengan kejadian ini, namun masih berharap keadilan untuk Aamina selain membiarkan siasatan lanjut dilakukan polis.

[fbcomments]