Seorang lelaki yang berusaha mengumpul dana bagi membiayai pembedahan pemasangan implan tempurung kepala dengan menjual daging salai menerima sumbangan berjumlah RM15,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, menerima sumbangan tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Kedah iaitu Zaiton Yahya, di kediamannya di Taman Jitra Indah pada kelmarin.
Lelaki Jual Daging Salai Untuk Biaya Pembedahan Terima Sumbangan RM15,000 Dari Perdana Menteri
Menurut Zaiton, Perdana Menteri menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa Muhammad Sufi dan berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban kos rawatan yang perlu ditanggungnya.
“Kami dimaklumkan mengenai keadaan beliau selepas kisahnya tular di media sosial. Pihak ICU dimaklumkan Perdana Menteri simpati dengan apa yang berlaku dan telah meminta saya mewakili beliau menyampaikan sumbangan.
“Saya harap, sumbangan ini dapat mengurangkan beban dipikul Muhammad Sufi dan berdoa agar Allah mempermudah segalanya dan semoga Muhammad Sufi cepat sembuh dan kembali normal seperti sediakala,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sufi yang sebelum ini bertugas sebagai jurupulih anggota di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, berkongsi kisah bagaimana hidupnya berubah secara drastik selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.
“Kejadian berlaku semasa saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berjumpa rakan dan apabila sampai di tempat kejadian, saya terbabas sendiri.
“Kemalangan menyebabkan berlaku pendarahan pada otak selain menyebabkan saya mengalami strok. Saya koma sebulan dan hanya mampu berjalan semula selepas tiga bulan.
Menurutnya, keadaan bahagian kepala yang terjejas semakin mengecut, sekali gus memerlukan pembedahan segera untuk pemasangan implan bagi menggantikan tempurung kepala yang dibuang.
“Bahagian tempurung kepala semakin mengecut, disebabkan itu kena buat pembedahan segera. Jika diikutkan pembedahan pada 9 Mac. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dan sumbangan ini dapat meringankan kos rawatan. Semoga Perdana Menteri dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” ujarnya.
Sebelum ini, Muhammad Sufi mengambil inisiatif sendiri dengan menjual daging salai bersama ibunya, Nooraini Ishak, 71, sebagai usaha mengumpul dana. Dia turut memuat naik video promosi jualannya di media sosial, dan tidak menyangka sambutan yang diterima begitu menggalakkan.
“Sejak video itu tular, jumlah pesanan meningkat mendadak dalam tempoh dua hingga tiga hari. Setakat ini, saya menerima kira-kira 20 tempahan, namun proses menyalai daging mengambil masa yang agak lama, kira-kira 12 jam,” katanya.
Walaupun kini sedang berdepan dengan cabaran besar dalam hidupnya, Muhammad Sufi tetap bersemangat untuk kembali ke dunia fisioterapi selepas pembedahan dan proses pemulihannya selesai.
“Bidang fisioterapi memang dekat di hati saya dan saya ingin kembali membantu pesakit lain menjalani pemulihan, sama seperti saya sendiri sedang lalui sekarang,” tambahnya.
Kredit: BERNAMA