fbpx

Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan tentang seorang wanita telah menyimbah air panas kepada seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) secara tiba-tiba di dalam sebuah lif.

Akibat kejadian itu, mangsa dilaporkan melecur di bahagian depan dan belakang dalam kejadian yang berlaku di sebuah apartmen di Bayan Lepas.

Angkara Dendam Lama Wanita Terbabit Bertindak Sedemikian

Berdasarkan laporan Harian Metro, difahamkan dendam lama dipercayai menjadi punca wanita terbabit bertindak luar kawalan terhadap mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya iaitu Superintendan Kamarul Rizal Jenal, beliau memaklukan bahawa siasatan awal mendapati perselisihan faham yang disifatkan agak sensitif itu tercetus antara suspek dan mangsa sekitar tiga atau empat tahun lalu.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan ke atas wanita terbabit dan siasatan awal mendapati punca adalah disebabkan perselisihan faham yang berlaku dalam tiga ke empat tahun lalu, saya rasa dia (suspek) kenal muka sebab tinggal di flat sama.

“Setakat ini kita sudah merakam percakapan tiga individu termasuk mangsa dan siasatan masih diteruskan, kalau selesai kita akan tuduh awal jika tidak, kita sambung reman,” katanya.

Suspek Tiada Rekod Pesakit Mental

Tambah Kamarul Rizal lagi, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menghantar suspek bagi menjalani pemantauan kesihatan untuk pemerhatian dan pengesahan laporan perubatan, walaupun siasatan setakat ini mendapati wanita itu bukan pesakit mental.

“Setakat ini kita tengok tiada (rekod pesakit mental) Insya-Allah kita akan majukan untuk kita dapatkan rawatan lanjut terhadap suspek jika suspek mempunyai masalah mental di hospital,” jelasnya.

Sementara itu, pihak hospital memaklumkan mangsa mengalami kecederaan melecur meliputi enam peratus daripada permukaan kulitnya dengan tempoh pemulihan dijangka kira-kira dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]