Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas terjatuh ke dalam gaung akibat ditarik seekor gajah dalam satu kejadian di Jalan Kampung Pengkalan Permai, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun, Gerik, pada Sabtu lalu.
Insiden itu berlaku ketika mangsa bersama dua individu lain sedang dalam perjalanan mencari hasil hutan menggunakan motosikal.
![]()
Keluar Cari Hasil Hutan Bertukar Cemas, Lelaki Orang Asli Cedera Diserang Gajah
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman, berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.26 petang. Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila dua buah motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki Orang Asli bersama seorang pembonceng melalui kawasan berkenaan. Penunggang motosikal pertama, seorang lelaki berusia 34 tahun, yang berada di hadapan sempat melihat seekor gajah di tepi jalan lalu memecut laju dan berjaya melepasi haiwan itu.
Namun, motosikal kedua yang ditunggang oleh adik lelaki tersebut, berusia 30 tahun, bersama seorang rakan pembonceng, tidak sempat melepasi gajah berkenaan dan berhenti untuk menyelamatkan diri. Secara tiba-tiba, gajah itu bertindak menarik penunggang motosikal kedua sehingga mangsa terjatuh ke dalam gaung, manakala pemboncengnya berjaya melarikan diri.
![]()
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka serta sakit di beberapa bahagian badan sebelum dirujuk ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut. Penunggang motosikal pertama dan pembonceng motosikal kedua dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sehubungan itu, Abdul Samad menasihatkan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya, supaya lebih berwaspada ketika melalui kawasan RPS Air Banun, Gerik, berikutan risiko kehadiran hidupan liar seperti gajah yang boleh membahayakan keselamatan.
Kredit: Sinar Harian