Pihak polis mengesahkan bahawa seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Axia putih secara berulang kali mengelilingi Bulatan Mahkota, Johor dari pagi hingga malam merupakan pesakit skizofrenia yang sedang menerima rawatan.
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZSMFG7Akk/
Lelaki Pandu Kereta Berulang Kali di Bulatan Mahkota Rupanya Pesakit Skizofrenia
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, memaklumkan bahawa pemandu berkenaan berusia lingkungan 50-an dan memiliki lesen memandu B2 serta D yang masih sah sehingga tahun 2027. Walau bagaimanapun, kenderaan yang dipandunya didaftarkan atas nama abangnya.
“Pemandu kereta pernah menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 2020 dan 2021 kerana penyakit mental.
“Terkini, dia ada menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi penyakit skizofrenia.
“Penama masih menerima rawatan di PSY Clinic dan mempunyai kad rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Bahrin, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 8.20 malam kelmarin. Anggota yang bertugas segera mengambil tindakan dan berjaya menghentikan kenderaan itu dalam tempoh kira-kira 10 minit tanpa sebarang insiden kemalangan atau kecederaan.
Dalam usaha memastikan keselamatan pemandu serta orang awam, polis telah menasihatkan ahli keluarga agar tidak membenarkan lelaki berkenaan keluar rumah sendirian dan melarangnya daripada memandu tanpa pengawasan.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 57 saat yang menunjukkan kereta Perodua Axia itu berulang kali membuat pusingan di Bulatan Mahkota sambil menyalakan lampu isyarat kecemasan (‘double signal‘).
Aksi tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang tertanya-tanya mengenai keadaan pemandu tersebut.
Kredit: Berita Harian, TikTok kluangharilni