Usahawan terkenal Aliff Syukri tampil membantu pelakon Azar Azmi dengan menyalurkan wang tunai melebihi RM35,000 menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok.
Bantuan tersebut diberikan selepas Aliff tersentuh melihat kesukaran hidup yang sedang dihadapi Azar ketika ini, selain menerima sokongan ramai rakyat Malaysia yang turut sama ingin membantu.
![]()
Aliff Syukri Hulur Bantuan Lebih RM35,000 Kepada Azar Azmi
Menurut Aliff, Azar sebelum itu hadir bertemunya bukan untuk meminta wang, sebaliknya memohon peluang pekerjaan sebagai pembungkus barang dengan anggaran gaji sekitar RM1,700 sebulan. Namun, atas rasa simpati terhadap keadaan aktres berkenaan, beliau mengambil keputusan untuk menghulurkan bantuan kewangan yang jauh lebih besar. Katanya, sumbangan tersebut bukan semata-mata daripada dirinya, sebaliknya hasil sokongan rakyat Malaysia yang membeli produknya sepanjang sesi siaran langsung berlangsung.
“Saya bantu seorang wanita yang kesempitan hidup hari ini. Dia datang pada saya, minta kerja sebagai tukang ‘packing’ barang dengan gaji RM1,700. Tapi hari ini saya bantu dia, rakyat Malaysia sayang dia. Ini bukan duit saya tetapi milik rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Aliff turut membuka ruang kepada Azar untuk menyertai syarikat miliknya sebagai pekerja tetap. Beliau memaklumkan bahawa pelakon yang pernah dikenali ramai itu berkemungkinan akan ditawarkan jawatan sebagai kerani atau pembungkus barang dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan. Menurutnya, Azar langsung tidak menunjukkan sebarang niat untuk meminta wang, sebaliknya hanya berharap diberikan peluang untuk bekerja dan memulakan semula kehidupan.
![]()
Bapa kepada enam cahaya mata itu turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membeli produknya sambil beramal, termasuk sumbangan RM5 yang disalurkan terus kepada Azar. Katanya, keprihatinan rakyat Malaysia amat dihargai dan beliau turut menyatakan hasrat untuk membantu Norish Karman selepas ini yang dikatakan sedang kurang sihat.
Sementara itu, Azar atau nama penuhnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35, mengakui dirinya terkejut dengan jumlah wang tunai yang diterima hasil jualan dilakukan Aliff di TikTok. Menurutnya, wang tersebut akan digunakan untuk membeli keperluan anak-anak memandangkan dia sudah lama berada dalam keadaan kesempitan wang. Dia turut meluahkan rasa segan dan terharu dengan bantuan yang diterima serta menyifatkan jumlah tersebut terlalu besar.
Azar juga memaklumkan bahawa dia bersedia menerima apa sahaja tawaran kerja yang diberikan kepadanya. Katanya, segala bantuan yang dilakukan Aliff melebihi apa yang pernah dijangkakannya dan dia amat terhutang budi atas keprihatinan yang diberikan. Difahamkan, dia kini tidak mempunyai akaun bank mahupun akaun media sosial susulan kes dakwaan penipuan yang pernah mengaitkan namanya sebelum ini.
![]()
Terdahulu, pelakon drama Nur 2 itu menjadi perhatian ramai selepas dia bersama suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, direman dan didakwa di mahkamah berhubung kes penipuan membabitkan tanah kurnia serta darjah kebesaran. Bagaimanapun, Azar telah dibebaskan dan kini akan bertindak sebagai saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes tersebut.
Dalam prosiding yang berlangsung pada Mac lalu, suaminya dilaporkan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli. Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 56 tahun sehingga membuat pembayaran dalam talian berjumlah RM270,811 ke sebuah akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun.
Kredit: Kosmo!