Seorang wanita berdepan detik memalukan apabila ditampar suaminya di hadapan khalayak ramai hanya kerana lambat keluar dari sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan baru-baru ini.

Kejadian yang sempat dirakam dan tular di media sosial itu mendapat perhatian pihak berkuasa, sekali gus membawa kepada penahanan suspek.

Lewat Keluar Lepas Beli Nasi Ayam, Suami Naik Angin Tampar Isteri di Tempat Awam

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, memaklumkan bahawa lelaki berkenaan telah ditahan pada Sabtu dan kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. Permohonan reman tersebut telah diluluskan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat.

“Suspek dipercayai tidur dalam kereta selama menghilangkan diri ketika dikesan pihak polis. Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dipercayai membeli nasi ayam di dalam pusat beli-belah berkenaan. Mangsa didakwa lewat keluar mengakibatkan suspek berang sebelum bertindak menampar mangsa,” katanya.

Difahamkan, insiden itu berlaku selepas mangsa keluar membeli nasi ayam di dalam pusat beli-belah berkenaan. Namun, kelewatan wanita itu keluar dari premis dipercayai mencetuskan kemarahan suaminya, yang kemudian bertindak menamparnya tanpa mempedulikan orang ramai di sekeliling.

Rakaman video berdurasi 29 saat yang tular menunjukkan wanita tersebut berjalan keluar sambil membawa bungkusan plastik sebelum diserang oleh lelaki berkenaan. Insiden itu mengejutkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Selepas kejadian, suspek dikatakan membawa isteri dan anaknya bermalam di Nilai, Negeri Sembilan, sebelum menghantarnya pulang ke rumah. Bagaimanapun, dia kemudiannya meninggalkan kediaman mereka dan tidak pulang selepas itu, dipercayai kerana bimbang ditahan polis.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]