Malaysia akan membuka pintu sempadan antarabangsa kepada enam negara yang dikategorikan sebagai zon hijau.
Enam negara zon hijau tersebut melibatkan Singapura, Brunei, Australia, New Zealand , Jepun dan Korea Selatan, umum Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Twitter hari ini.
Bagaimanapun, perbincangan termasuk penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dengan negara-negara berkenaan masih di peringkat awal.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata, kerajaan turut memberi kelonggaran untuk warga asing (merujuk golongan pakar) masuk ke negara ini melalui beberapa syarat.
“Antaranya adalah untuk ekspatriat (pakar) kategori EP1 atau yang mempunyai Professional Visit Pass dan Resident Pass Talent, (iaitu) yang melibatkan pengurusan tertinggi di sesebuah syarikat di negara kita.
“Mereka ini dibenarkan untuk masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia. Bagaimanapun, mereka tetap perlu menjalani saringan COVID-19 dan ujian swab di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia.”