Seorang penyelia berusia 28 tahun, Faris Irfan, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di Lebuhraya Sultan Iskandar.

Difahamkan, Allahyarham sebenarnya merancang untuk pulang ke rumah keluarganya tengah hari ini bagi memasak selepas selesai bekerja dan berehat sebentar.

Baru Empat Bulan Kahwin, Penyelia Maut Dirempuh Kereta Dipandu Lelaki Disyaki Mabuk

Bapanya, Fazli Buyong, 56, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu berkahwin pada 13 Jun lalu. Menurutnya, hasrat Allahyarham untuk meluangkan masa bersama keluarga tidak kesampaian selepas dia menerima panggilan daripada menantunya pada jam 4.20 pagi yang memaklumkan berita kematian anaknya.

Fazli turut mendedahkan isteri Allahyarham berada di lokasi kejadian sejak kira-kira jam 10 malam untuk menemani suaminya bekerja. Bagaimanapun, wanita itu menunggu di dalam kereta ketika kemalangan berlaku. Kejadian dipercayai berlaku ketika Faris bersama rakan setugas sedang mengemas peralatan untuk pulang selepas menyelesaikan kerja, dengan hanya kon keselamatan yang belum dialihkan sebelum sebuah kereta merempuh mereka.

Susulan kejadian itu, Faris disahkan meninggal dunia, manakala seorang pemandu lori turut mengalami kecederaan. Kereta terbabit dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun yang didapati mempunyai paras alkohol dalam darah melebihi had dibenarkan. Polis sebelum ini mengesahkan insiden berkenaan melibatkan seorang penyelia berusia 28 tahun yang maut ketika menjalankan tugas.

Dalam pada itu, Fazli menerima pemergian anaknya dengan reda, namun berharap hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa. Beliau turut menggesa supaya undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah dikaji semula serta diperketatkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Jenazah Allahyarham yang menetap di Setiawangsa disolatkan di Masjid Mu’adz Bin Jabal sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, Batu Caves selepas solat Asar.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]