Proses pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah ke atas setiap umat Islam dan kebiasaannya ia dilakukan di hospital atau kediaman waris masing-masing.

Namun begitu, cetusan idea kreatif anak muda berusia 36 tahun yang berasal dari Bangi, Selangor ini berjaya menghasilkan sebuah kabin pengurusan jenazah bergerak yang dilihat dapat memudahkan proses berkenaan untuk dilakukan di mana-mana sahaja.

Menurut Pengasas Amal Valley Organization, Mohd Zulhairi Zainol berkata, pihaknya baharu sahaja memulakan operasi kabin jenazah bergerak berkenaan sejak seminggu lalu dan sehingga kini sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Sejak seminggu lalu, boleh dikatakan hampir setiap hari kami mendapat panggilan untuk menguruskan jenazah.

“Jenazah yang kami uruskan ini kebiasaannya terdiri daripada mereka kurang berkemampuan dan memerlukan. Kami juga tidak kenakan sebarang caj bayaran.

“Tapi jika ada pihak yang ingin membayar, kami akan gunakan untuk pengurusan jenazah lain yang memerlukan pada masa hadapan.”

Mengulas lanjut mengenai kabin berkenaan, Mohd Zulhairi berkata, pihaknya membeli kemudahan itu dengan harga sekitar RM100,000 yang diperoleh menerusi sumbangan orang ramai sebelum ini.

Katanya, terdapat beberapa kemudahan di dalam kabin berkenaan antaranya seperti tempat mandi jenazah, tangki air bersih, pam air, tangki septik simpanan air terpakai, ruang solat jenazah dan beberapa lagi.

“Air yang dah digunakan untuk mandikan jenazah itu akan disalurkan masuk ke tangki septik disediakan di kabin berkenaan dan dibawa ke surau tempat kami uruskan jenazah di Bangi untuk dibuang selepas itu.

“Kami sentiasa menjaga adab pengurusan jenazah dan tidak membuang air mandian sesuka hati,” katanya.

Katanya lagi, buat masa ini, Amal Valley Organization mempunyai seramai kira-kira 25 orang sukarelawan bagi membantu melaksanakan tuntutan fardu kifayah tersebut.

“Dulu kami bergerak di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Amal Team, namun ia tidak dapat didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Oleh sebab itu kita tukar kepada nama Amal Valley Organization.

“Alhamdulillah, sehingga kini, kami mendapat sokongan dan bantuan dari banyak pihak khususnya sukarelawan yang sedia membantu,” katanya.

Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan bagi membantu usaha Mohd Zulhairi ini boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank: 562263553821(Amal Valley Organization).

[fbcomments]