Kehilangan sepasang suami isteri bersama empat anak mereka sejak pagi kelmarin terus menimbulkan kebimbangan apabila masih tiada sebarang petunjuk mengenai keberadaan mereka sehingga kini.

Enam Sekeluarga Dilaporkan Hilang Selepas Bermalam di Rumah Saudara

Mangsa dikenali sebagai Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, dan isterinya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31. Mereka turut membawa bersama empat anak berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun ketika bermalam di rumah adik lelaki Mohd Azim di Taman Aman.

Menurut adik mangsa, Nur Adliah Shuhada Ishak, kehilangan itu disedari sekitar jam 5.30 pagi semalam apabila beliau mendapati mereka sekeluarga tiada di rumah.

“Selalunya mereka akan pulang awal pagi ke Jerlun kerana abang saya perlu masuk kerja. Saya sangka mereka sudah balik seperti biasa, tetapi apabila ibu mentua abang hubungi saya dan beritahu mereka belum tiba, kami mula risau,” katanya.

Lebih membimbangkan, katanya, segala usaha untuk menghubungi pasangan tersebut sejak semalam gagal apabila kedua-dua telefon bimbit mereka tidak dapat dihubungi.

Tambahnya, pasangan berkenaan mempunyai lima orang anak, namun hanya empat yang ikut bersama kali ini. Anak sulung mereka, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, tidak turut serta dan tinggal di rumah nenek di Jerlun.

Tiada sebarang kelakuan mencurigakan dikesan ketika kali terakhir mereka sekeluarga dilihat, malah menurut Adliah, perbualan malam sebelumnya berlangsung seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda mereka berdepan masalah.

“Pagi semalam, saya terima panggilan mengatakan ada sebuah kereta ditemui di dalam Sungai Korok. Kami sekeluarga segera ke lokasi, tetapi nombor pendaftaran kenderaan tersebut tidak sama dengan kereta abang,” katanya.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jitra bagi memaklumkan kehilangan tersebut. Usaha pencarian turut digerakkan oleh ahli keluarga di laluan-laluan yang biasa digunakan oleh mangsa, termasuk kawasan sekitar sungai.

“Saya paling risaukan anak-anak abang, lebih-lebih lagi yang bongsu baru berusia enam bulan,” luahnya.

Beliau turut merayu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil membantu dengan menghubungi talian 011-64408196 atau 011-60816922.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan laporan kehilangan telah diterima dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan lokasi keluarga tersebut.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]