Prosiding bela diri pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ditangguh ke esok selepas tiga peguam yang mewakilinya menarik diri.
Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis kepada Mahkamah Seksyen, Jumaat lalu, manakala Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor membuat permohonan secara terbuka di mahkamah hari ini.
“Saya tidak akan dapat meneruskan pembelaan ini kerana saya tidak boleh bertindak sendirian tanpa pasukan selepas dimaklumkan dua peguam telah menarik diri malam tadi. Bila isu ini timbul, ia telah menjejaskan jadual kerja kami,” kata Nur’Aminahtul.
Ini mengakibatkan prosiding hari ini tergendala selama dua jam.
Hakim, Izralizam Sanusi kemudian mengarahkan mereka untuk berbincang sebelum tiga peguam itu menyatakan keputusan untuk menarik diri dari kes berkenaan.
Izralizam berkata, mahkamah akur dengan permohonan itu dan menegaskan ia menjejaskan kelancaran perbicaraan kes tersebut yang sudah pun tertangguh beberapa kali sebelum ini.
Katanya lagi, perkara sebegitu tidak wajar berlaku kerana tarikh perbicaraan sudah ditetapkan dan dipersetujui lebih awal malah peguam mempunyai masa mencukupi untuk membuat permohonan sekiranya ada sebarang masalah.
Sementara itu, Siti Bainun berkata, dia hanya mengetahui mengenai penarikan diri peguam-peguamnya pada pagi tadi dan menyatakan akan cuba mendapatkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atau mencari peguam lain.
Sebelum ini Siti Bainun telah diperintahkan membela diri berhubung dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella di kondominium miliknya di Wangsa Maju.
Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.