Seorang wanita yang disyaki terlibat dalam insiden simbahan asid terhadap seorang pengusaha spa di Beris Kubur Besar, Bachok telah ditahan pihak polis dalam satu operasi malam tadi.

Pengusaha Spa Cedera Disimbah Asid, Seorang Suspek Wanita Sudah Ditahan

Dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu sekitar jam 8.30 malam, mangsa dikenali sebagai Nor Faziera Muda, 27, dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas diserang oleh sekumpulan individu yang menyamar sebagai pelanggan di premis miliknya. Suspek terdiri daripada tiga wanita berpakaian purdah dan seorang individu bertopeng, dikatakan membuat tempahan urutan selama tiga jam sebelum tiba ke lokasi kejadian.

Ketika mangsa membuka pintu untuk menyambut ‘pelanggan’, beliau telah disimbah dengan cecair dipercayai asid yang diletakkan dalam bekas termos. Serangan itu berlaku di hadapan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun. Akibat kecederaan parah di bahagian belakang badan dan tangan kanan, Nor Faziera terpaksa menjalani dua pembedahan, termasuk satu prosedur selama enam jam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, pihaknya telah mengenal pasti tiga suspek termasuk dua wanita, dan percaya mereka masih berada dalam negeri Kelantan.

Terkini, seorang wanita yang dipercayai salah seorang daripada suspek telah berjaya diberkas di Kuala Krai pada jam 10 malam tadi. Suspek kini dibawa ke Mahkamah Bachok pagi ini untuk permohonan tahanan reman.

Sementara itu, kenyataan lanjut mengenai perkembangan kes akan diberikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat. Pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan dua lagi suspek yang masih bebas.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]