Pada Sabtu, semalam terjadi satu kejadian berkenaan seorang peniaga kedai makan tercedera di bahagian muka dan badan apabila beliau menjumpai bungkusan di belakang kedainya itu meletup secara tiba-tiba. Kejadian ini dipercayai berlaku di Jalan Pantai Chenang, di sini pada pagi Sabtu.

Bungkusan Ditemui Di Belakang Sebuah Restoran

Menurut sumber yang dipetik dari Berita Harian, mangsa yang berusia 26 tahun dan berasal dari Myanmar itu dimaklumkan cedera selepas bungkusan yang dibukanya itu meletup secara tiba-tiba. Kejadian yang berlaku pada jam 10.27 pagi itu telah menyebabkan kedai peniaga terbabit turut terkesan dengan kesan letupan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengatakan bahawa mangsa adalah seorang pemegang kad Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Difahamkan, mangsa mengusahakan kedai makan terbabit dengan menyewa bahagian belakang restoran. Letupan itu menyebabkan mangsa cedera di muka dan badan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha menggunakan ambulans untuk menerima rawatan”, jelasnya kepada media.

Mangsa Dalam Keadaan Sedar Dan Stabil

Menurut Shariman lagi, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedar. Unit Pemusnah Bom dan unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan ke lokasi untuk membuat siasatan dan mengesan suspek yang melakukan jenayah terbabit.

“Polis juga sedang mengenal pasti motif kejadian. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan”, ulasnya.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]