Seorang ibu berdepan detik memilukan apabila bergegas ke lokasi kemalangan anak lelakinya, Muhammad Arifat Shaion, 23, di Kilometer 13.1 Lebuh Raya Cheras-Kajang berhampiran Batu 9 Cheras, petang semalam, tanpa mengetahui anaknya sudah meninggal dunia.
Wanita yang dikenali sebagai Makteh itu difahamkan menerima panggilan memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan sebelum segera bergerak dari Kajang bersama seorang rakan. Namun, perjalanan mereka terganggu akibat kesesakan lalu lintas yang teruk sehingga menyukarkannya untuk tiba dengan segera.
![]()
Ibu Bergegas Ke Lokasi Kemalangan, Tak Sangka Anak Sudah Tiada
Menerusi perkongsian individu di media sosial, Makteh pada awalnya hanya dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan diminta datang segera tanpa mengetahui anaknya sudah menghembuskan nafas terakhir. Keadaan bertambah menyayat hati apabila wanita itu dipercayai ternampak jasad anaknya yang sudah ditutupi kain di seberang lebuh raya.
Tidak mampu menahan perasaan, Makteh kemudian keluar dari kereta dan meminta bantuan seorang penunggang motosikal untuk membawanya ke lokasi kejadian. Dalam perkongsian berasingan, penunggang motosikal itu menceritakan dia hampir mengalami kemalangan apabila wanita berkenaan tiba-tiba membuka pintu kereta ketika lalu lintas sesak.
![]()
Menurut lelaki itu, dia pada mulanya mahu menegur tindakan Makteh sebelum mengetahui wanita tersebut mahu berjalan kaki ke lokasi kemalangan kerana tidak sanggup menunggu dalam kesesakan. Selepas mendengar penjelasannya, dia bersama seorang rakan segera membantu dengan membawa Makteh dan rakannya menaiki motosikal ke lokasi kejadian.
“Kenapa ni mak cik buka pintu kereta tengah-tengah jalan? Mak cik tu cakap, anak saya kemalangan dekat depan sana. Jadi mak cik nak jalan kaki ke sana sebab jem teruk. Allah, tak jadi aku nak marah. Terus aku dan kawan aku angkut mak cik dengan kawan dia naik motor terus ke lokasi kemalangan,” katanya.
![]()
Menerusi perkongsian itu, Muhammad Arifat difahamkan merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya dan dikenali sebagai seorang anak yang baik serta taat kepada ibu bapanya. Kehilangan anak tersayang pada usia 23 tahun itu pastinya menjadi dugaan besar buat Makteh sekeluarga.
“Satu-satunya anak lelaki. Dia anak yang baik, taat ibu bapa. Allah pinjamkan 23 tahun untuk Makteh sekeluarga,” katanya.
Kredit: Thread