Anak sulung kepada pelakon veteran Rosnah Mat Aris iaitu Romi Sofha Rastam Shaharom, 50, dilaporkan meninggal dunia pada petang Sabtu yang lepas kira-kira jam 1.30 petang. Khabar duka tersebut disahkan oleh rakan pelakon berkenaan iaitu Didie Alias menerusi akaun Instagram miliknya.

Sempat Berkonvoi Sebelum Rebah Dan Meninggal Dunia

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Mstar, difahamkan Allahyarham meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika berhenti di pinggir jalan semasa berkonvoi bersama rakan-rakan menunggang motosikal menuju ke ibu negara dari Cameron Highlands.

“Apa yang saya dimaklumkan dia (Romi) pergi ride bersama kawan-kawan dan ketika berpatah balik dari Camera Highlands, dia memberhentikan motosikal di tepi jalan ketika sampai di Sungai Koyan. Dia kata macam sakit dada dan kawan-kawan bantu menyapu minyak pada bahagian dadanya sebelum arwah mengadu mahu muntah, rasa pitam.. Tak lama selepas itu dia tumbang”, jelas Didie ketika ditemu bual Mstar.

Rosnah Mat Aris Tenang Dengan Pemergian Anaknya

Mengulas lanjut, arwah sempat dihantar ke sebuah klinik berdekatan sebelum dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. Punca kematian masih tidak dapat dipastikan lagi sama ada Allahyarham mengalami serangan jantung atau sebaliknya.

Didie Alias turut memberitahu keadaan ibu Allahyarham iaitu Rosnah dengan mengatakan beliau dalam keadaan tenang dan reda dengan pemergian anak sulungnya itu. “Kak Ros (panggilan Rosnah) tenang tapi dalam hati siapa yang tahu”, ujarnya.

Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah, Gombak pada Ahad semalam.

Selain Romi, Rosnah juga mempunyai tiga lagi cahaya mata hasil dari perkongsian hidup bersama bekas suaminya.

Kredit: Mstar

[fbcomments]