Sajat atau Muhammad Sajad Kamaruzzaman seperti dalam kad pengenalannya, ialah usahawan transgender terkenal. Baru-baru ni kecoh pasal dia memakai telekung ketika menunaikan umrah, sampai kes dia ni jadi trending kat Twitter dan turut menarik perhatian Sarjana Turki terkenal, Mustafa Akyol.
Jangan jadikan Sajat sasaran
Dia telah menggesa pihak berkuasa agama di Malaysia supaya tidak menjadikan ahli perniagaan Nur Sajat sebagai sasaran kerana memakai telekung ketika menunaikan umrah di Mekah.
“Hakikatnya Nur Sajat menunaikan umrah menunjukkan beliau setia kepada agamanya,” kata penyokong kebebasan bersuara di dunia Islam itu yang kerap mengkritik Islamis dan sekularis di negaranya.
“Beliau juga mungkin tidak mengganggu mana-mana jemaah di sekelilingnya di tanah suci. Jadi, kenapa tidak menghormati cara pengenalan dirinya?”
Malah beliau turut menggesa umat Islam supaya menerima transgender sebagai sebahagian ummah.
Syiah kelihatan lebih praktikal
Penulis yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berkata, dalam konteks ini, korpus Syiah dalam perundangan Islam kelihatan lebih praktikal dalam menangani individu yang berdepan konflik identiti jantina.
“Ulama Syiah mengambil langkah positif dalam perkara ini. Itu sebabnya pembedahan pertukaran jantina bukan saja sah di sisi undang-undang, tetapi digalakkan di Iran.”
Negara Islam yang memberi hak kepada transgender
Iran yang merupakan negara majoriti pengikut Syiah, ialah satu-satunya negara Islam di Timur Tengah yang memberi hak kepada transgender untuk memiliki identiti jantina mereka.
Pemimpin revolusi Islam di Iran pada 1979, Ayatullah Khomeini, meluluskan fatwa penting pada 1986 yang mengisytiharkan pembedahan pertukaran jantina dan terapi penggantian hormon sebagai prosedur perubatan yang boleh diterima dari segi agama.
Menggesa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan
Akyol turut menggesa pihak berkuasa supaya tidak mengambil tindakan terhadap Sajat.
“Nur Sajat tidak patut diganggu, diburuk-burukkan, menjadi sasaran atau dilarang melawat Kaabah.”