Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki berada di tepi lebuh raya sejak awal pagi dalam keadaan kesejukan dan lencun akibat hujan sehingga menarik perhatian ramai di media sosial. Difahamkan, lelaki berkenaan berada di lokasi tersebut selama hampir sembilan jam sebelum dipujuk anggota bomba untuk pulang ke rumah.
@wan_zazi Kadang hidup rasa berat, tapi kita tetap kena berjalan. #StayStrong #keepsupporting #mentalhealth
Tular Berbaring Di Tepi Lebuh Raya Sejak Awal Pagi, Lelaki Akhirnya Tampil Beri Penjelasan
Susulan video yang tular itu, lelaki terbabit tampil menjelaskan keadaan dirinya menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya, @alifhairi. Menurutnya, dia berada dalam keadaan baik dan berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat serta mendoakan kesejahteraannya.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya lelaki dalam video tersebut. Alhamdulillah, semua baik-baik sahaja. Biasalah, air ada pasang surut, tetapi apabila tiba-tiba berlaku banjir besar, kita terkejut juga. Kena ambil masa untuk surutkan kembali.
“Kepada semua, tolong jangan keluarkan kenyataan yang pelik-pelik. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan mengambil berat tentang saya,” katanya.
![]()
Terdahulu, Pegawai Bomba Kanan I Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Nor Azam Abd Rahman memaklumkan pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) sekitar jam 9 pagi pada Jumaat mengenai seorang lelaki yang berada di tepi lebuh raya.
Menurutnya, ketika anggota bomba tiba di lokasi, lelaki tersebut ditemui berhampiran sebuah motosikal Yamaha RX-Z dalam keadaan basah kuyup selepas dipercayai terkena hujan lebat. Difahamkan, dia telah berada di situ sejak kira-kira jam 1 pagi.
Tambah beliau, lelaki itu pada mulanya hanya berdiam diri dan menggigil ketika cuba didekati anggota bomba. Namun selepas hampir 15 minit dipujuk serta diberikan kata-kata nasihat, lelaki berkenaan akhirnya bersetuju untuk pulang ke rumah. Nor Azam turut tidak menolak kemungkinan lelaki itu sedang berdepan tekanan atau masalah peribadi sehingga memilih untuk berada bersendirian di lokasi tersebut dalam tempoh yang lama.
Kredit: Sinar Harian, Thread alifhairi