Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) mendedahkan detik hitam yang dialaminya selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar sebuah gerai makanan di pasar pagi di Kemaman sehingga menyebabkan kemarahan orang ramai.
Insiden itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, tetapi turut meninggalkan kesan emosi mendalam apabila dia dipukul, diseret dan mukanya disimbah mi goreng panas oleh sekumpulan individu.
Lelaki OKU Dibelasah Selepas Terjatuh Dari Motosikal, Dedah Detik Sedih Disimbah Mi Panas
Mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, berkongsi bahawa kejadian bermula apabila motosikalnya ditendang oleh seseorang, menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke arah gerai tersebut. Ketika cuba bangun, dia tiba-tiba diserang dan dibelasah tanpa diberikan peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Saya menunggang motosikal meninjau jualan peniaga di situ dan ketika pusingan kali ketiga, tiba-tiba ada orang tendang motosikal saya dari belakang.
“Ketika terjatuh, saya dipukul ditendang, diheret dengan teruk dan sampai hari ini saya tertanya-tanya mengapa mereka memukul saya sebegitu rupa,” katanya.
Tambahnya lagi, ketika dia sedang dalam kesakitan, wajahnya disimbah dengan mi goreng panas yang telah tumpah di jalan. Insiden itu bukan sahaja menyakitkan secara fizikal tetapi turut meninggalkan kesan emosi yang mendalam.
“Ketika dihumban ke atas mi goreng yang tumpah di atas jalan itu, saya menahan nafas dan saya cuba menahan muka saya dengan tangan kerana pedih terkena mi goreng sebelum seorang individu curah mi goreng atas kepada saya.
“Ketika saya cuba membasuh muka dengan air kerana mata terasa pedih, saya masih lagi diserang, malah kepala saya turut disepak,” dedahnya.
Ahmad Nor Al Faizan turut menjelaskan bahawa dia beberapa kali merayu agar tidak dipukul dan menyatakan kesanggupannya untuk mengganti sebarang kerugian yang berlaku. Namun, rayuannya tidak diendahkan dan serangan terhadapnya berterusan.
“Saya sudah meminta maaf dan berjanji akan membayar segala kerosakan jika benar saya bersalah. Namun, mereka terus memukul saya tanpa belas kasihan,” ujarnya.
Insiden itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial. Mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, dan pihak berkuasa kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Walaupun telah dibenarkan keluar dari hospital, Ahmad Nor Al Faizan masih mengalami kesakitan pada bahagian rusuk akibat serangan itu. Beliau berharap agar keadilan dapat ditegakkan dan kejadian seperti ini tidak berulang kepada individu lain, terutamanya golongan yang kurang upaya.
Kredit: Harian Metro