Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang memasuki ke bilik stesen janakuasa elektrik TNB untuk mengambil bola dikhabarkan melecur satu badan selepas tersentuh alatan elektrik di dalam bilik berkenaan di Taman Seri Bayu, Bayan Lepas pada petang semalam.
Badan Mengalami Lecur Teruk
Memetik laporan Kosmo! Online, mangsa ditemui dalam keadaan menahan kesakitan akibat tragedi yang menimpanya kira-kira jam 4.45 petang. Menurut Jurucakap bomba, pihak mereka telah menerima sebuah panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.55 petang dan operasi menyelamat membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dengan bantuan BBP Seri Balik Pulau.
Difahamkan, sebaik sahaja pasuka bomba tiba di tempat kejadiaN, mereka mendapati kejadian membabitkan seorang kanak-kanak lelakI mengalami kecederaan melecur akibat tersentuh perkakasan elektrik di dalam bilik janakuasa berkenaan.
“Mangsa telah dibawa ke hospital oleh pihak perubatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian. Komander Operasi membuat ‘size up’ memastikan tiada lagi kemerbahayaan sebelum menyerahkan kepada pihak TNB untuk tindakan selanjutnya.Operasi terkawal dan ditamatkan pada pukul 5.43 petang tadi (semalam),” ujarnya.
Terjatuh Dalam Bilik Janakuasa TNB Ketika Mahu Ambil Bola
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya iaitu Superintendan Kamarul Rizal Jenal telah mengesahkan kejadian dan memaklumkan kanak-kanak tersebut dilaporkan terjatuh di dalam bilik janakuasa TNB ketika masuk untuk mengambil bola. Difahamkan lagi, kanak-kanak terbabit sebelum itu sedang bermain futsal bersama rakannya sebelum menyedari bola tersebut terpelanting dan masuk ke dalam bilik berkenaan yang terletak berdekatan gelanggang di situ.
Mangsa dipercayai memanjat pagar yang berkunci sebelum terjatuh ke dalam bilik janakuasa TNB terbabit.
Kredit: Kosmo! Online