Baru-baru ini, ujian vaksin COVID-19 buatan China menunjukkan ia dapat mencetuskan respon kepada imun dan selamat untuk manusia.
Vaksin diberi nama BBIBP-CorV yang dibangunkan oleh Beijing Institute of Biological Products itu sudah pun diluluskan penggunaannya kepada para petugas barisan hadapan yang lebih terdedah kepada risiko jangkitan virus tersebut.
Fasa pertama dan kedua sudah lepas
Fasa pertama dan kedua dijalankan terhadap 600 orang dewasa pada April hingga Julai tempoh hari. Keputusannya menunjukkan antibodi pesakit berusia lebih 60 tahun mengambil masa 42 hari untuk meningkat, berbanding sampel berusia 18 hingga 59 tahun yang hanya mengambil masa sekitar 28 hari.
Tiada kesan sampingan
Pada masa sama, tiada kesan sampingan besar daripada aplikasi vaksin tersebut, hanya demam biasa dan kesakitan kecil di tempat suntikan, berdasarkan laporan oleh laman web jurnal perubatan, The Lancet.
Vaksin tersebut tidak diuji kepada kanak-kanak kerana para pengkaji mahu analisis penuh terhadap data yang dikumpul daripada kumpulan dewasa dibuat terlebih dahulu sebelum dicuba kepada kumpulan berusia 17 tahun dan ke bawah.
Akan diperkenalkan kepada umum
Bagaimanapun, penggunaan secara meluas oleh khalayak umum hanya boleh disahkan selepas vaksin itu lulus fasa ketiga ujian yang sedang dijalankan ketika ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), BBIBP-CorV merupakan salah satu daripada 10 lagi vaksin yang sedang memasuki fasa ketiga ujian.
Semoga ianya berjaya dan kita semua dapat keluar dari pandemik ini menjelang hujung 2020.