Sudah banyak berita-berita mengenai kaum lain yang cuba mempelajari dan mendalami tulisan jawi ini. Malah, lebih mengagumkan, ada sebahagian daripada mereka sememangnya sudah pandai dan kenal huruf-huruf jawi ini kerana minat serta mempelajarinya sendiri.
Begitu juga dengan seorang warga emas berbangsa Cina yang berusia 64 tahun ini. Beliau sememangnya terkenal di Kuala Selangor kerana sudah 40 tahun menjadi pengukir tulisan jawi pada batu nisan.
Belajar jawi masa usia 20 tahun
Pakcik yang berbangsa cina ini dikenali sebagai Kuah Leong Chuan, dikatakan belajar mengukir atas batu nisan ini daripada bapanya ketika usianya mencecah 20 tahun.
Hanya sejam sahaja untuk menyiapkan ukiran
Menurut Pakcik Kuah, pada awal pembelajaran tulisan jawi, dia menyatakan tangannya menggeletar dan tulisan yang terhasil tidak cantik.
Pakcik Kuah juga menyatakan bahawa dia juga turut mempelajari jawi ini, daripada pelanggan-pelangganya yang datang untuk menempah batu nisan. Tetapi zaman kian berubah, sudah ramai yang tidak menggunakan tulisan jawi ini.
Jelas warga emas itu lagi, di batu nisan terbabit, hanya terukir perkataan Al-Fatihah dan isi maklumat si mati seperti nama, tarikh lahir dan tarikh meninggal.
Beliau hanya mengambil masa satu jam sahaja untuk menyiapkan ukiran pada sebuah batu nisan. Lebih mengagumkan, dia masih lagi menggunakan teknik tradisional iaitu dengan mengukir dan memahat tulisan jawi berkenaan dengan hanya menggunakan tangan.