Sebuah video yang memaparkan tindakan seorang lelaki menampar seorang wanita di sebuah pusat beli-belah baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.

Difahamkan, kejadian tersebut dirakam secara tidak sengaja ketika sebuah premis di lokasi sama sedang melakukan siaran langsung di platform media sosial mereka.

Video di bawah:

https://x.com/mynewshub/status/1883435985419317671?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw

Polis Siasat Insiden Lelaki Tampar Isteri di Pusat Beli-Belah

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, pihaknya kini sedang menyiasat kejadian tersebut dan giat mengesan individu yang terlibat.

Katanya, insiden itu berlaku di sebuah pusat beli-belah di kawasan Kota Warisan, Sepang.

“Pengadu yang membuat laporan adalah adik kepada mangsa. Beliau mengesahkan bahawa mangsa berusia 35 tahun adalah kakaknya, manakala lelaki yang memukul mangsa dipercayai suaminya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an,” ujar Norhizam.

Pihak polis juga sedang berusaha merakam keterangan saksi-saksi kejadian bagi melengkapkan siasatan. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Dalam pada itu, pihak berkuasa meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut agar segera menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]