Seorang pempengaruh media sosial mengalami kecederaan serius di wajah dan tangan selepas terkena bilah tajam pengisar mudah alih yang tiba-tiba berpusing ketika sedang memasak di rumahnya baru-baru ini.

Pempengaruh Trauma Selepas Terkena Bilah Pengisar Ketika Memasak, Berdarah Satu Muka

Wan Nur Aisyah Wan Aziz, atau lebih dikenali sebagai Aisyah, berkongsi detik mencemaskan itu yang berlaku ketika dia sedang menyediakan bahan masakan untuk hidangan keluarga pada hari Sabtu lalu.

Insiden itu dilaporkan berlaku sewaktu Aisyah sedang membetulkan kedudukan bilah pengisar jenis cincang (chopper) yang digunakannya. Tanpa menyedari suis pada soket telah dihidupkan, bilah pengisar berputar secara tiba-tiba setelah butang atas alat itu tersentuh secara tidak sengaja.

“Ketika pisau berpusing, ia terpelanting ke arah muka saya. Saya cuba elak dengan tangan, tapi kuku jari hantu saya terkena dan separuh hancur,” katanya ketika dihubungi.

Lebih malang, bilah berkenaan turut mencederakan wajahnya menyebabkan dahi Aisyah terbelah dan memerlukan enam jahitan manakala hidungnya menerima lima jahitan. Dia turut mengalami pendarahan yang agak banyak dan segera dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Aisyah yang juga seorang ibu, mengakui insiden tersebut meninggalkan kesan emosi yang mendalam dan membuatkannya trauma untuk kembali menggunakan alat pengisar jenis itu.

Katanya, perkongsian kisah ini bukan sekadar pengalaman peribadi, tetapi juga sebagai peringatan kepada orang ramai khususnya golongan wanita yang sering menggunakan peralatan elektrik di dapur agar sentiasa berwaspada terhadap risiko yang tidak dijangka.

Kredit: mStar, TikTok aaisyahaziz_

 

[fbcomments]