Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ramai yang terkesan. Ramai yang dibuang kerja serta tiada sumber pendapatan. Ketika ini barang makanan asas merupakan sesuatu yang sangat berharga. Malah hampir setiap hari kita mendengar individu susah meminta pertolongan mendapatkan makanan. Jadi, barangan dapur itu menjadi sesuatu yang sangat bernilai.
Selamatkan sekampit beras
Menerusi perkongsian yang tular di TikTok baru-baru ini, seseorang telah memuat naik video yang memaparkan seorang pemuda menyelamatkan sekampit beras selepas motosikalnya tiba-tiba sahaja terbakar.
Difahamkan pemuda berkenaan dilihat baru sahaja hendak menghidupkan motosikalnya sebelum api tiba-tiba marak dan menyambar bahagian enjin motosikal tersebut.
Dia dengan pantas mengambil sekampit beras di bakul motor dan memeluknya daripada turut terbakar. Namun apa yang menyentuh hati, dia sempat lagi tersenyum walaupun dalam keadaan panik.



