Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun mengalami kecederaan serius selepas diserang seorang lelaki yang menceroboh rumahnya di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, Kuala Selangor pada Rabu.

Warga Emas Cedera Parah Dipukul Penceroboh, Polis Buru Suspek

Mangsa, yang ketika itu tinggal seorang diri, dikatakan diserang secara tiba-tiba oleh suspek yang masuk melalui pintu rumah yang tidak berkunci.

Lelaki tersebut dipercayai terus menerkam dan menumbuk mangsa hingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian muka, termasuk mata kiri dan kanan yang lebam, mulut pecah, lidah berjahit serta luka di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.50 petang hari kejadian. Siasatan awal mendapati suspek, dikenali sebagai Shamsul Atin, 34, merupakan jiran mangsa dan kini sedang diburu pihak berkuasa.

“Ketika diserang, mangsa sempat bergelut dan menjerit meminta pertolongan, menyebabkan suspek melarikan diri. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 447 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa turut berkongsi keadaan nenek saudara mereka di media sosial dan merayu bantuan orang ramai untuk menjejaki suspek. Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kredit: FB Anie Rahani, Majoriti Official

 

 

 

[fbcomments]